Malaysian Industrial Development Finance Berhad

Untitled Document
Utility'

ABX Express (M) Sdn Bhd

ABX Express (M) Sdn. Bhd. (“ABX”) mula beroperasi pada 7 November 1984 di Labuan. Pada peringkat permulaannya ABX merupakan sebuah operasi kurier berkapasiti kecil yang menawarkan perkhidmatan kurier ekspress ke destinasi domestik dan juga antarabangsa. Bermula tenaga kerja 3 orang, sebuah kereta penghantar dan 2 buah motorsikal penghantar, ABX kini telah berkembang pesat dari segi operasi dan kapasiti. ABX kini mempunyai 78 cawangan perkhidmatan di seluruh pelusuk negara yang diuruskan oleh lebih dari 1,200 tenaga kerja profesional yang disokong oleh 200 buah kenderaan penghantaran bermotor dan tidak termasuk 535 buah motorsikal penghantaran.

Pada tahun 2004 ABX telah mencatat sejarah dengan menjadi syarikat kurier ekspress tempatan pertama yang berkerjasama dengan jaringan syarikat-syarikat kurier ekspress antarabangsa lantas meluaskan jangkauan operasi ABX ke peringkat global.

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sektor ICT ABX melalui bantuan pembiayaan sistem pengesan Mobile Workforce Devices/ Scanners yang meningkatkan keberkesanan syarikat untuk mengesan lokasi dan status pakej penghantaran pelanggan ABX Express di serata dunia. Selain daripada menjadi satu-satunya syarikat kurier ekspress tempatan yang menggunakan mobile scanners, kecanggihan sistem tersebut juga meningkatkan keberkesanan sistem pengesan ABX, Smartrak® menjadikan ia antara sistem yang paling efektif di Malaysia.

ABX telah memilih untuk menggunakan pembiayaan dari MIDF bagi sistem pengesan Mobile Workforce Devices/ Scanners tersebut berdasarkan bayaran ansuran bulanan yang sangat kompetitif. Pembiayaan tersebut distruktur dengan baik untuk membolehkan pembayaran balik dalam jangkamasa yang berpatutan dengan mengambil kira aliran wang syarikat. Semasa tempoh tanggung sebelum bayaran balik bermula, yuran janji sanggup yang diperlukan adalah 4 kali lebih rendah dari ansuran bulanan dari segi kuantum. Selain daripada pakej menarik yang distruktur oleh MIDF, ABX sedar akan reputasi MIDF dalam membantu banyak perniagaan domestik dan juga enterpris kecil dan sederhana (EKS) untuk menubuhkan serta mengembangkan perniagaan mereka dengan jayanya. ABX juga mengambil kira reputasi MIDF sebagai sebuah institusi yang arif dan berpengalaman lebih 50 tahun dalam keperluan kewangan sebuah syarikat yang berteraskan perkhidmatan.

Usaha berterusan ABX dalam sentiasa meningkatkan aplikasi ICT dalam operasi perniagaan adalah bertujuan untuk sentiasa memberikan kepuasan tinggi kepada para pelanggan setia syarikat. Sebagai contoh, sistem ICT Smartship® dan Smartrak® adalah merupakan asset intelek ABX sendiri di mana sistem-sistem tersebut memudahkan dan mengurangkan kos-kos operasi dan pengurusan. Ini membolehkan ABX untuk menawarkan perkhidmatan kurier ekspress profesional bertaraf dunia pada harga yang sangat kompetitif kepada para pelanggannya.

Pada tahun lepas, ABX telah mencatatkan peningkatan 14% dalam keuntungan syarikat. Peningkatan dalam keuntungan adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan syarikat dan operasi syarikat yang strategik dan dalam pada masa yang sama pembiayaan MIDF untuk sistem pengesan Mobile Workforce Devices/ Scanners turut membantu untuk menarik pelanggan-pelanggan baru. Sistem pengesan Mobile Workforce Devices/ Scanners itu bukan sahaja mengurangkan kos-kos operasi dan menambah baik kelancaran sistem penghantaran kurier ABX, malah sistem tersebut juga memperkasakan tahap sekuriti dan keselamatan pakej penghantaran para pelanggan.

Peratusan majoriti pelanggan-pelanggan ABX adalah terdiri daripada nama-nama besar dalam industri kewangan dan perbankan seperti Maybank, Standard Chartered Bank, CIMB Group dan HSBC Bank disamping syarikat-syarikat ternama industri lain seperti Maxis Mobile Sdn Bhd dan Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”). Hubungan perniagaan dengan nama-nama besar daripada pelbagai industri memastikan ABX sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan syarikat dengan jitunya. Pemerkasaan sistem sekuriti dalam perkhidmatan kurier ekspress ABX menambah keyakinan para pelanggan untuk terus menjadikan ABX Express sebagai pilihan utama untuk khidmat penghantaran kurier ekspress profesional.

MIDF telah ditubuhkan pada tahun 1960 sebagai salah satu inisiatif daripada Bank Dunia untuk menggerakkan sektor perindustrian Malaysia selepas negara mencapai merdeka. Kepakaran dan pengalaman lebih lima puluh tahun yang ditawarkan oleh MIDF dalam menilai permohonan pembiayaan membolehkan EKS dan syarikat korporat yang lain untuk mendapatkan pembiayaan pembangunan untuk kekal di dalam industri sekaligus mempertingkatkan daya saing dan daya pengeluaran.

Pembiayaan yang diterima oleh ABX dari MIDF disediakan di bawah program bantuan kewangan yang dikenali sebagai Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Kapasiti Sektor Perkhidmatan, yang bukan sahaja membiayai pembinaan atau pembelian aset komersial tetapi juga membiayai pemerolehan sistem software ICT ataupun hardware ICT. Sebagai tambahan kepada program ini, program-program bantuan kewangan lain yang ditawarkan oleh MIDF adalah Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modernisasi untuk mempromosi penggunaan meluas automasi dalam proses perkilangan serta mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dan aktiviti intensif buruh dan Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Automotif untuk membantu usahawan-usahawan automotif dalam pengeluaran dan aktiviti berkenaan pengeluaran serta rasionalisasi operasi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1128&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_04.htm&arc=hive