Malaysian Industrial Development Finance Berhad

Untitled Document
Utility' Utility'

Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd

Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd (AHP) telah ditubuhkan pada tahun 1989 dengan alamat operasi kilang pertama di Seksyen 23, Shah Alam. AHP yang telah bertahan selama dua puluh tahun dalam industri pengeluaran barangan automotif merupakan pengeluar barangan ’Plastic injection moulding’ (PIM) untuk nama-nama besar seperti Proton, Perodua, UMW Toyota, Isuzu, TS Lear, Delloyd Industries dan lain-lain. Selain daripada mempunyai kepakaran dalam mengeluarkan barangan PIM untuk industri automotif, AHP juga mengeluarkan barangan PIM untuk pelanggan-pelanggan dari industri barangan eletrik.

Tunjang utama kejayaan AHP untuk berjaya bertahan dalam industri sebagai salah satu syarikat yang berjaya dan berdaya saing adalah terletak pada Sistem Pengurusan Kualiti (Quality System Mangement) AHP. Penerapan sistem ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menjaga kualiti proses & produk pengeluaran dan pada masa yang sama memberikan kepuasan optimum kepada para pelanggan AHP. Ini sejajar dengan motto AHP iaitu ”Kepuasan pelanggan dalaman dan luaran adalah keutamaan kami”.

Kualiti dan kecekapan dalam pengeluaran produk telah menaikkan nama AHP sebagai IKS yang berjaya. Ini ditunjukkan dengan pencapaian dan anugerah yang telah diperolehi sejak penubuhan syarikat. Antara anugerah yang telah diterima adalah Best Vendor Platinum Award 2010 daripada Proton, Outstanding Delivery Performace Award 2010 daripada TS Lear, Industry Excellent Award 2001 daripada MITI dan banyak lagi.

Sistem pengurusan kualiti AHP telah menerima anugerah ISO 9002 (pada tahun 1996), QS 9000 (pada tahun 2001) dan TS 16949 (pada tahun 2004) daripada SIRIM. Demi meningkatkan daya saing AHP untuk sentiasa kekal relevan di industri, syarikat juga memberi tumpuan kepada produk plastik yang mempunyai rekaan industri moden bagi menarik para pelanggan.

AHP mengendalikan operasi pengeluaran di dua buah kilang Shah Alam, Selangor dan sebuah lagi di Tanjong Malim, Perak. Setiap kilang beroperasi untuk tiga syif setiap hari dan mengendalikan pelbagai proses seperti ultrasonic welding, vibration welding, hot plate, tooling fabrication, course injection moulding dan pemasangan produk. Antara strategi lain dalam memastikan kepuasan pelanggan ialah melalui Kajian & Penyelidikan (R&D) untuk menghasilkan produk-produk baru yang lebih innovatif. Melalui mesin-mesin berteknologi tinggi beserta sistem perisian komputer, AHP mampu menghasilkan lebih daripada 400 jenis produk plastik termasuk komponen plastik dalaman & luaran kereta.

Tambahan lagi dengan adanya fasiliti tooling yang moden dan canggih, AHP dapat menawarkan harga yang menarik kepada para pelanggan untuk setiap keluaran syarikat disebabkan oleh pengurusan kos yang baik. Fasiliti pewarnaan produk juga merupakan salah satu kelebihan AHP dalam memberi kepuasan optimum kepada para pelanggan. Selain daripada produk bermutu tinggi yang dihasilkan oleh fasiliti moden dan canggih, rahsia kejayaan AHP terletak pada pengurusan kewangan yang jitu dan cermat. Antara langkah mempertingkatkan lagi prestasi kewangan syarikat, AHP telah memilih untuk menggunakan pinjaman putaran (Revolving Credit) Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Automotif (SLSAD) daripada Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) bagi membantu dalam pusingan kewangan harian syarikat yang sangat pantas memandangkan kepesatan perniagaan operasi. Permohonan AHP yang bermula pada tahun 2010 untuk pinjaman-pinjaman tersebut telah diluluskan pihak Jabatan Pembangunan Kewangan MIDF dengan jangka masa yang cepat memandangkan prestasi AHP yang memberansangkan.

Tahun 2010 merupakan tahun yang memberansangkan untuk AHP apabila kewangan syarikat menunjukkan peningkatan membanggakan dalam jualan iaitu dari RM37 juta pada tahun sebelumnya kepada RM49juta. Pada tahun tersebut juga, syarikat telah menerima beberapa anugerah antaranya ialah ’Outstanding Delivery Performance’ daripada TS Lear dan ’Platinum Award for Lean Practitioner Certification Program’ daripada Proton.

MIDF telah menyumbang sedikit sebanyak melalui bantuan kewangan terhadap syarikat dari segi pinjaman yang diberikan dengan kadar faedah yang agak kompetitif. Dengan adanya aliran tunai yang baik AHP mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada peningkatan produktiviti dan kualiti keluaran syarikat.

AHP telah memilih untuk berurusan dengan MIDF berdasarkan beberapa faktor kukuh di antaranya bayaran ansuran bulanan yang sangat kompetitif berbanding perbankan konvensional ataupun perbankan Islam yang lain di pasaran. Pembiayaan tersebut distruktur dengan baik untuk membolehkan pembayaran balik dalam jangkamasa yang berpatutan dengan mengambil kira aliran wang syarikat.

Selain daripada pakej menarik yang distruktur oleh MIDF, AHP sedar akan reputasi MIDF dalam membantu banyak perniagaan domestik dan juga perusahaan IKS lain untuk menubuhkan serta mengembangkan perniagaan mereka dengan jayanya. AHP juga mengambil kira reputasi MIDF sebagai sebuah institusi yang arif dan berpengalaman dalam keperluan kewangan sebuah syarikat yang berteraskan perkhidmatan.