Simposium Usahawan MIDF Memupuk Semangat Perindustrian di Kalangan Usahawan Tempatan

 

 

Seramai 480 orang peserta dari pelbagai perusahaan telah menyertai Simposium Usahawan MIDF 2012 yang telah berlangsung pada 22 April 2012  di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Sabah. Simposium tersebut merupakan sebuah acara  hasil kerjasama di antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang diadakan bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia 2012.

 

Simposium Usahawan MIDF diadakan bagi tujuan membuka peluang kepada usahawan-usahawan untuk mendapatkan pendedahan, khidmat nasihat serta rahsia kejayaan dalam perniagaan. Selain itu, pengisian simposium diharap dapat menggalakkan komuniti usahawan tempatan supaya lebih giat berkongsi pengalaman, membincangkan isu-isu semasa serta mengukuhkan rangkaian di kalangan peserta simposium.

 

Program seperti ini bertindak sebagai peneraju agenda keusahawanan di kalangan agensi-agensi kerajaan, para usahawan dan bakal usahawan untuk bertukar-tukar fikiran dalam memantapkan rangkaian perniagaan, pendekatan dan strategi untuk memacu perniagaan yang cemerlang. Pada masa yang sama, peluang ini dapat digunakan untuk memberi ruang meningkatkan lagi kejayaan syarikat.

 

Setiap tahun Simposium Usahawan MIDF mengenengahkan tokoh-tokoh usahawan cemerlang tempatan daripada pelbagai industri untuk berkongsi idea dan buah fikiran bersama-sama para perserta. Program ini dijalankan dalam bentuk sesi forum yang dikendalikan oleh seorang Pemudahcara bagi mewujudkan suasana interaktif di antara ahli-ahli panel dan para peserta. Pada tahun ini, pihak penganjur telah menjemput Yang Berbahagia Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd.; En. Jamaludin Md. Ali, Pengarah Urusan KFC Holdings Bhd.; En. Mohamed Faroz bin Mohamed Jakel, Pengarah Urusan Jakel Group of Companies; Puan Dayang Khatijah binti Datu Bachtiyal, Pengarah Urusan Sarang Putri Enterprise; dan Yang Berbahagia Datuk Yusof Haslam; Pengarah Urusan Skop Production.

 

Pada penganjuran kali ini, simposium tersebut memberi penekanan kepada penghayatan konsep kreatif dan inovatif dalam perniagaan. Isu-isu dibincangkan merangkumi pelbagai tema dan idea seperti budaya keusahawanan cemerlang, keusahawanan di era globalisasi, budaya pemikiran inovatif dan kreatif serta cabaran-cabaran yang melanda perindustrian negara.

 

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia Datuk Seri Anifah Aman. Turut hadir pada majlis itu adalah Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah; dan Datuk Joseph Guntavid, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

Ini merupakan tahun keenam penglibatan MIDF dalam simposium usahawan yang pertama kali diadakan di Kuantan, Pahang pada tahun 2007 diikuti oleh Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2008, Johor Bahru, Johor pada 2009, di Kuching, Sarawak pada 2010 dan Ipoh, Perak pada tahun 2011.

 

“Melalui program latihan keusahawanan seperti Simposium Usahawan MIDF 2012 ini, ianya dapat memberi pendedahan kepada usahawan tempatan mengenai kepentingan membentuk kecemerlangan perniagaan, meningkatkan lagi kefahaman tentang keusahawanan melalui sifat-sifat kepimpinan dan pengalaman yang disampaikan oleh ahli-ahli panel”, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib bin Hj. Abdullah berkata dalam ucapan alu-aluan di majlis tersebut.

 

MIDF sentiasa berusaha untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara terutama sekali syarikat-syarikat tempatan. Kumpulan MIDF pada hari ini merupakan sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai khidmat nasihat dan produk kewangan yang merangkumi sektor perbankan pelaburan (Investment Banking), kewangan pembangunan (Development Finance)  dan juga pengurusan aset (Asset Management).

 

MIDF kini menawarkan empat skim bantuan pinjaman kepada para usahawan  iaitu Skim Pinjaman Mudah untuk Enterpris Kecil & Sederhana (SLSME), Skim Pinjaman Mudah Bagi Pembangunan Automotif (SLSAD), Skim Pinjaman Mudah Bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM) dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Peningkatan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (SLSCD). Sejak penubuhan syarikat pada tahun 1960 sehingga kini, MIDF telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM10.6 billion kepada 8,878 syarikat-syarikat tempatan terutamanya Enterpris Kecil & Sederhana.

 

Para usahawan yang berminat memohon pinjaman bagi memulakan ataupun mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor pembuatan and sektor perkhidmatan adalah disyorkan untuk menghubungi pihak MIDF dengan melayari This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau dengan terus menghubungi Jabatan Jualan Ibu Pejabat MIDF, Kuala Lumpur di talian 03 – 21738888 atau pejabat wilayah MIDF di Pulau Pinang,  (tel. no. 04-2298434), Johor Bahru (07-2232727), Kota Bahru (09-7483546), atau pejabat cawangan MIDF di Kuching (082-254533) dan Kota Kinabalu (088-211633).  Butiran mengenai semua program bantuan kewangan MIDF bagi sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan boleh juga didapati dari laman sesawang korporat www.midf.com.my.