MIDF SAMBUNG USAHA BINA RUMAH UNTUK KELUARGA MISKIN TEGAR DI KOTA TINGGI
Kuala Lumpur, 20 Julai 2009 - Keinginan untuk memiliki dan mendiami rumah yang sempurna akhirnya menjadi kenyataan bagi lapan buah keluarga di daerah Kota Tinggi, Johor.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Rumah Murni yang diusahakan oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF). Program ini adalah susulan dan salah satu daripada sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF yang sebelum ini telah melaksanakan program seumpamanya di daerah Muar, Johor.
“Akhirnya kami dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan penuh bermakna hasil daripada sumbangan ini tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi memiliki rumah sendiri” kata salah seorang penerima Program Rumah Murni MIDF.
“Kami sebagai warga korporat yang prihatin sentiasa berusaha untuk membantu dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan.” Ujar En. Mohd Najib Hj. Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF semasa majlis penyerahan kunci Program Rumah Murni MIDF di Kota Tinggi baru-baru ini.
Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi untuk mengenalpasti keluarga miskin tegar yang amat memerlukan bantuan seumpama ini. Ianya merangkumi pembinaan semula rumah atau pembaikpulihan rumah yang telah rosak dan usang. Rumah yang dibina merangkumi tiga buah bilik tidur, satu bilik air, dapur dan ruang tamu serta dilengkapi dengan kelengkapan perabot asas seperti katil dan tilam, set sofa, almari baju, meja makan, dapur gas serta bekalan air dan elektrik. Kos keseluruhan bagi pembinaan sesebuah rumah dianggarkan RM35,000.00. Manakala peruntukan bagi pembaikpulihan sesebuah rumah dianggarkan bernilai RM10,000.00.
“Kami amat bersyukur dengan pemberian ini kerana kami tidak pernah menyangka akan berupaya memiliki rumah baru dan lengkap seperti yang disumbangkan oleh MIDF. Penantian kami serta doa kami akhirnya dimakbulkan jua.” Kata salah seorang penerima itu, Rohani bte Mohd Khalid, 43, seorang surirumah dari Kampung Sentosa berkata dia dan suaminya, sama sekali tidak menyangka rumah kos rendah yang mempunyai 3 bilik tersebut akan menjadi kepunyaannya.
”Kami sekeluarga begitu terharu dan berterima kasih kepada MIDF yang membantu menyediakan rumah ini. Kami terpaksa menunggu selama lebih empat tahun untuk mendapat bantuan daripada mana-mana badan kebajikan bagi membina rumah kami yang sudah tidak boleh diduduki. Selama ini, kami terpaksa tinggal di bahagian dapur rumah kerana sebahagian besar rumah ini tidak selamat untuk diduduki”, kata Rohani sambil mengesat airmata.
Tambah beliau lagi, ”Saya serta suami dan anak-anak terpaksa bersempit-sempitan tidur di atas katil kelamin di bahagian dapur kerana rumah kami berlantaikan tanah dan pasir. Rumah seperti ini sememangnya membuatkan kami sekeluarga tujuh beranak dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan sempurna”.
Pasangan Rohani dan suaminya adalah antara sembilan penerima rumah MIDF yang menerima plak PRMM masing-masing secara rasmi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa berlangsungnya perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Johor Bahru baru-baru ini.
Tambah seorang penerima lagi, Puan Malan binti Abu, 79, seorang warga emas dari Kampung Lukut, beliau amat bersyukur kerana sebelum ini, beliau bersama anak tunggal perempuannya bernama Pindah yang mempunyai 10 orang anak terpaksa menjalani kehidupan di dalam sebuah rumah usang yang tidak kondusif untuk didiami. Kini bantuan yang dihulurkan oleh MIDF membolehkannya hidup dengan lebih selesa.
”Alhamdulillah, cucu-cucu saya yang seramai sepuluh orang dapat merasai kehidupan yang lebih selesa.” katanya dengan sebak sambil memandang ke arah rumah baru yang tersergam di hadapan rumah lama yang sudah usang disumbangkan oleh MIDF.
”Kami sekeluarga begitu terharu dan berterima kasih kepada MIDF yang membantu menyediakan rumah ini serta Ketua Kampung Lukut dan pihak Pejabat Daerah yang memilih kami sekeluarga menerima bantuan perumahan tersebut” katanya yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan hanya menerima hasil daripada tanaman kampung bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.
”Kami di MIDF akan meneruskan usaha untuk membantu mereka yang memerlukan, dengan tumpuan diberikan kepada pendidikan yang merupakan landasan segala inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami,” jelas Encik Mohd Najib lagi. ”Menerusi PRMM ini anak-anak sembilan keluarga penerima boleh meneruskan pembelajaran di dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.”
Program di Kota Tinggi ini merupakan fasa kedua PRMM, yang mana fasa pertama program ini bertempat di Pagoh, Muar pada tahun lalu.
Mengenai MIDF
MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.
MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.