KUMPULAN MIDF SERAH RM1 JUTA
KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN DI PERLIS
Kangar, 5 Februari 2010 – Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) hari ini melaksanakan tanggungjawab untuk menyerahkan zakat perniagaannya yang berjumlah RM1 juta untuk agihan kepada asnaf fakir dan miskin di Perlis.
Wang zakat tersebut disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP). Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis telah menerima cek pembayaran zakat tersebut dari Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah.
”Kumpulan MIDF tidak alpa untuk melaksanakan tanggungjawabnya untuk membantu golongan yang memerlukan. Syarikat telah menunaikan pembayaran zakat yang merupakan salah satu tuntutan agama Islam dan sekaligus menjalankan tanggungjawabnya sebagai entiti korporat yang prihatin,” jelas Encik Mohd. Najib.
Wang zakat tersebut akan digunakan oleh MAIP untuk bekerjasama rapat dengan MIDF dari segi perancangan hingga pelaksanaan Program Rumah Murni MIDF (PRMM).
”Tujuan kami dibawah PRMM adalah untuk menyediakan suasana yang lebih selesa dan kondusif bagi membantu anak-anak penerima supaya dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran dalam keadaaan yang lebih sempurna.” kata Encik Najib.
”Kami percaya kediaman yang selesa dan selamat akan sedikit sebanyak menyuntik semangat pada anak-anak penerima memperbaiki pembelajaran mereka selain daripada memberi mereka peluang untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang lebih baik. Harapan kami adalah untuk melihat anak-anak ini terus bersekolah dan mendapat pekerjaan yang baik bagi menaikkan taraf sosio-ekonomi keluarga masing-masing,” ujar Encik Mohd. Najib lagi.
MIDF banyak melaksanakan inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang berdasarkan pendidikan. Hasrat MIDF dengan membina rumah untuk golongan miskin ini adalah untuk sama-sama membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan melalui pendidikan serta menyahut seruan Kerajaan membantu dalam membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2010.
Setakat ini MIDF telah membina 17 buah rumah bagi golongan miskin tegar iaitu sebanyak lapan (8) di Muar dan sembilan (9) di Kota Tinggi menerusi fasa pertama dan kedua Program Rumah Murni manakala fasa ketiga di negeri Kelantan bakal mewujudkan 10 buah rumah baru.
”Ini adalah kali kedua MIDF bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri untuk membina rumah kediaman berserta perabot asas untuk keluarga asnaf fakir dan miskin,” tambah Encik Najib lagi.
Negeri Perlis dianggap bertuah kerana menerima sumbangan terbesar dari MIDF setakat ini bersempena dengan sambutan ulangtahun MIDF yang ke-50. MIDF serta MAIP merancang untuk membina sebanyak 28 hingga 30 buah rumah untuk keluarga asnaf fakir dan miskin di Perlis.
Mengenai MIDF
Kumpulan MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.