MIDF RAIKAN ULANGTAHUN KE 50 BERSAMA WARGA SARAWAK
Kuching, 23 April 2010 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) meraikan rakyat Sarawak sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50 di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010, anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB). MIDF, yang merupakan sebuah kumpulan kewangan yang menawarkan perniagaan dalam bidang Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset, membawa kejutan untuk tiga warga Sarawak yang dilahirkan pada tarikh yang sama dengan penubuhan syarikat tersebut pada 30 Mac 1960.
Tiga warga Sarawak yang diraikan itu ialah Encik Romano Mun @ Man, berbangsa Melayu, Encik Sim Kian Teck, berbangsa Cina, dan Encik Peter Cotter, kaum Bidayuh. Mereka menerima sebuah televisyen berukuran 32 inci berserta plak penghargaan dari MIDF.
Program tanggungjawab sosial korporat MIDF juga telah dianjurkan berlandaskan pendidikan dengan meraikan anatara tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak dari pelbagai kaum. Tiga pelajar tersebut terdiri daripada Adik Gladys Tan Yee Kim, beliau bukan sahaja pelajar cemerlang di Sarawak, tetapi di seluruh Malaysia, Adik Luqman Arif bin Mohd Taha dan Adik Magdelina Anna anak Sagat, dari kaum Iban.
Menurut adik Gladys Tan Yee Kim memperolehi 10A+ resipi kejayaan beliau ialah beliau tidak sesekali menghafal untuk lulus periksa semata-mata tetapi mentelaah dan memahami pelajaran secara konsistent. Beliau juga berkongsi tip kejayaan dengan menasihati pelajar-pelajar lain bahwa tidak perlu bangun awal pagi atau tidur lewat malam untuk belajar sekiranya memberi perhatian yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar. Tambah beliau, setiap mata pelajaran yang diajar oleh guru harus faham konsep dan yang paling penting adalah menjalani kehidupan yang seimbang, mesti bijak membahagikan masa seperti beriadah dan mentelaah pelajaran. Adik Gladys yang mendapat pendidikan di SMK Green Road, Kuching meluangkan masa di gereja pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk melakukan kerja kebajikan bersama-sama rakan beliau serta terlibat di dalam koir. Anak bongsu daripada 4 adik-beradik tidak dianggap “ulat buku” oleh rakan-rakan.
Minat membaca bermula sejak umur 6 tahun. Beliau yang pandai bermain piano gemar dengan mata pelajaran Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Biologi dan Sejarah. Ibu beliau merupakan bekas pegawai bank manakala ayahnya seorang bekas guru. Adik-beradik beliau juga merupakan pelajar cemerlang dan itu dijadikan ransangan untuknya belajar bersungguh supaya tidak menghampakan ibu bapanya. Beliau bercita-cita untuk meneruskan pelajaran dalam bidang psikologi di Stanford atau Yale, di Amerika Syarikat. Motto kejayaan beliau ialah “Do your best, let God do the rest”.
Selain beliau, Adik Luqman Arif bin Mohd Taha, dari Sekolah Menengah Sains Kuching memperolehi keputusan SPM 8A+, 2A. Rahsia kejayaan beliau ialah beliau hanya belajar bila rasa ingin belajar dan lebih fleksibel dengan masa belajar. “ Paling utama ialah saya cuba tidak mengabaikan solat,” beliau menambah.
Beliau yang merupakan anak ketiga daripada 5 adik-beradik meminati matapelajaran Biologi dan Matematik. Minat beliau berdebat dan berpidato dan pernah menganggotai kelab debat Bahasa Inggeris di sekolah. Beliau menanam cita-cita untuk menjadi Pakar jantung satu hari kelak kerana ingin membantu ayah yang mempunyai masalah jantung. Kata-kata beliau “Saya ingin menjadi doktor kerana ingin berkhidmat untuk Negara serta rakyatnya”. Beliau memilih untuk belajar di dalam Negara kerana ingin memahami penyakit rakyat Malaysia.
Seorang lagi pelajar Adik Magdelina Anna anak Sagat, memperolehi keputusan SPM 7A+, 3A dan mendapat pendidikan dari S.M.K. St Mary, Kuching. Menurut beliau, rahsia kejayaan beliau adalah mesti bijak membahagikan masa dan tidak belajar di saat akhir. Sentiasa bertanya soalan sekiranya tidak memahami sesuatu dan perlu ada keyakinan diri. Beliau tidak pernah tinggal sembahyang, tidur yang cukup dan sentiasa mementingkan kesihatan. Minat beliau di dalam menulis sajak dan berbahas tidak menghalang beliau untuk menjadi Ketua Girl’s Brigade dan aktif dalam pasukan bola jaring. Cita-cita beliau untuk menjadi doktor di dalam bidang sakit puan mendorong untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti di Ireland.
Mengenai MIDF
Kumpulan MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.