Thursday, 9 September 2010
MIDF Trivia
Slash1-2
Berita Niaga MITI
Slash1-2
Midfccs New Ipos
Slash2-3
MIDF-UiTM Gallery
Slash3-4
Loan Schemes

MIDF SERAH RUMAH BARU PADA FAKIR MISKIN DI PERLIS


Kangar, 16 Mei 2010 – Tiga puluh keluarga asnaf fakir miskin di Perlis menerima rumah baru hasil daripada sumbangan zakat Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pada hari ini.

Majlis penyerahan Rumah Murni MIDF disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut hadir di majlis tersebut adalah Menteri Besar Perlis YAB Dato’ Seri Dr. Md. Isa bin Sabu dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Encik Mohd Najib Hj. Abdullah.

”Program Rumah Murni MIDF di Perlis adalah fasa keempat program ini dan merupakan sumbangan zakat kami yang terbesar bersempena sambutan ulang tahun penubuhan MIDF yang ke 50 sebagai satu kumpulan kewangan tempatan di negara ini,” jelas Mohd Najib di dalam ucapan beliau. ”Sebanyak RM1 juta telah disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis untuk tujuan pembinaan 27 buah rumah baru dan baik pulih 3 buah rumah keluarga asnaf fakir dan miskin di Perlis.”

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memainkan peranan yang penting di dalam program tersebut dengan membantu MIDF dari segi pemilihan penerima Rumah Murni MIDF. Wang zakat tersebut telah disalurkan menerusi MAIPs pada bulan Februari yang lalu bagi tujuan pembinaan tiga puluh buah rumah tersebut.

”Selain menunaikan rukun Islam, sumbangan zakat perniagaan MIDF serta pembinaan 30 buah rumah di bawah Program Rumah Murni MIDF juga merupakan cara kami untuk berkongsi kejayaan kumpulan syarikat kami bersama masyarakat terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan yang memerlukan bantuan.” ujar Mohd Najib lagi. ”MIDF telah bertahan selama 50 tahun sebagai sebuah entiti korporat, inilah sumbangan kecil kami sempena sambutan ulangtahun MIDF yang ke 50, untuk bangsa, agama dan negara.”

Program Rumah Murni MIDF dianjurkan dengan objektif membantu golongan miskin tegar dan setakat ini sebanyak 57 buah rumah telah disediakan. Daripada jumlah tersebut, sepuluh buah rumah baru di Kelantan bakal diserahkan kepada penerima sebelum hujung tahun ini. Lapan keluarga miskin tegar di Muar telah menduduki rumah masing-masing sejak bulan November 2008 manakala sembilan keluarga di Kota Tinggi, Johor telah menerima kunci rumah masing-masing pada bulan April 2009.

Harapan MIDF dengan tersedianya 30 buah rumah tersebut dapat sedikit sebanyak membantu menyediakan suasana yang lebih selesa dan kondusif bagi membantu anak-anak penerima supaya dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran dalam keadaaan yang lebih sempurna.

”MIDF bukan sahaja membina rumah baru, malahan kami berharap keadaan yang selesa tersebut dapat dijadikan dorongan kepada anak-anak penerima supaya memperbaiki pelajaran masing-masing. Dengan pelajaran yang sempurna akan memastikan keupayaan anak-anak penerima untuk menaikkan taraf ekonomi keluarga masing-masing serta meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang lebih baik,” kata Mohd Najib. Setiap rumah juga dibekalkan dengan peralatan perabot asas untuk memberi keselesaan kepada keluarga penerima. Di Majlis yang sama juga, MIDF memberi 200 unit Amanah Saham Didik kepada anak-anak penerima yang masih bersekolah. ”Pemberian unit Amanah Saham Didik ini adalah untuk menanam budaya menabung di kalangan anak-anak penerima” ujar Mohd Najib.

Sementara itu, Salim Saad salah seorang penerima berkata beliau amat bersyukur dan berterimakasih kepada MIDF dan Majlis Agama Islam Perlis kerana telah menyediakan tempat tinggal yang amat selesa untuk beliau dan 8 orang anak-anak beliau berteduh.

Ini adalah kali kedua MIDF bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri untuk membina rumah kediaman bagi keluarga miskin tegar dan MIDF akan meneruskan usahanya untuk membantu golongan yang memerlukan melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya.

Seramai lebih dari 500 orang menghadiri Majlis tersebut yang diadakan di perkarangan rumah salah seorang penerima, Encik Usup bin Ismail di Kampung Tebuk, Guar Sanji, Perlis.

Mengenai MIDF

Kumpulan MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.

MIDF menyambut ulang tahun ke-50 pada 30 Mac 2010 yang lalu dan sambutan dimulakan sejak Oktober tahun lepas dengan pengenalan logo rasmi ulangtahun. MIDF ditubuhkan lima puluh tahun yang lalu, hasil kajian Bank Dunia, sebagai institusi kewangan pembangunan yang unggul bagi tujuan mempercepatkan pembangunan dan modenisasi industri pembuatan Negara.


For more information, please contact :

Haniza Abdul Aziz
Group Corporate Communications
Tel: (03) (03) 2173 8750
Fax: (03) 2173 8755
E-mail: haniza@midf.com.my
Website: www.midf.com.my

Anita Ramly
Group Corporate Communications
Tel: (03) 2173 8751
Fax: (03) 2173 8755
E-mail: anitar@midf.com.my
Website: www.midf.com.my