Kuala Lumpur, Selasa, 20 Jun, 2006 - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) telah mengumumkan di Mesyuarat Agung Tahunannya ke-46 bahawa para pemegang sahamnya telah meluluskan dividen akhir sebanyak 6 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Disember 2005. Apabila dicampurkan dengan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham yang dibayar pada Oktober 2005, jumlah dividen sebanyak 9 sen bagi tahun kewangan 2005 adalah selari dengan dividen yang dibayar pada tahun sebelumnya. Ini mewakili pulangan dividen sebanyak 8.3% berdasarkan harga
semasa saham MIDF di sekitar RM1.08.
Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang berlangsung sejurusnya, pemegang saham MIDF telah menetapkan resolusi istimewa untuk melaksanakan pindaan usul kepada Memorandum Persatuan Syarikat (“Memorandum”). Pindaan usul kepada Memorandum tersebut akan membolehkan MIDF memperluaskan bidang produk dan perkhidmatan kewangan yang dapat ditawarkan, sekaligus menawarkan lebih pilihan kepada klien. Ini akan memudahkan perkembangan portfolio aset kewangan MIDF secara keseluruhannya.