KUALA LUMPUR, Rabu, 3 Januari 2007 - MIDF Amanah Investment Bank Berhad (“MIDF Investment”), sebuah syarikat Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) telah mula beroperasi pada 3 Januari 2007.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Investment Dato’ Megat Hisham Megat Mahmud berkata, “Proses rasionalisasi dan integrasi antara perniagaan perbankan saudagar, pembrokeran stok dan syarikat diskaun kami telah disempurnakan dengan jayanya.”
Beliau menyatakan bahawa segala aset dan liabiliti Amanah Short Deposits Berhad, Malaysia Discounts Berhad dan MIDF Sisma Securities Sdn Bhd telah dipindah hak milik kepada MIDF Investment pada 29 Disember 2006 sekaligus melengkapkan transformasi MIDF Investment sebagai sebuah bank pelaburan. Dato’ Megat berkata, beliau gembira kerana integrasi sistem tersebut telah disempurnakan dengan lancar dan operasi perniagaan berjalan seperti biasa.
MIDF Investment kini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan aktiviti perbankan pelaburan yang meliputi nasihat kewangan, penajaan jaminan ekuiti dan instrument hutang, aktiviti perbendaharaan dan perkhidmatan pembrokeran ekuiti. Bank ini juga menerima deposit borong (wholesale deposit) di samping mewujudkan pasaran bon bagi melengkapkan aktiviti-aktiviti berbayar.