Kuala Lumpur, 9 October 2007 – Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang mulia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) baru-baru ini telah berbuka puasa bersama empat puluh (40) anak-anak yatim dari Asrama Damai Kuang, Selangor di majlis berbuka puasa, “Majlis Iftar dan Sembahyang Tarawikh”.
Diadakan di karangan Bangunan MIDF di Jalan Tun Razak, majlis tersebut telah dihadiri oleh kakitangan MIDF yang turut sama menjamu selera berbuka puasa dengan nasi briyani dan pelbagai juadah lauk bersama anak-anak yang kurang bernasib baik tersebut. Di dalam ucapan aluannya, Pengerusi MIDF Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Mahmood Taib berkata bahawa majlis iftar, atau majlis berbuka puasa ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan bahawa MIDF prihatin dan mengingati mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya apabila Hari Raya Aidilfitri yang hampir menjelang tiba.
“MIDF telah menjadikan Majlis Iftar ini satu acara tahunan dan kami sememangnya merancang untuk mengadakan lebih banyak majlis seperti ini kerana kami mahu berkongsi kejayaan syarikat kami dengan golongan yang memerlukan,” kata Tan Sri Dato’ Mahmood.
Untuk menjadikan majlis tersebut lebih bermakna bagi kanak-kanak yang hadir, setiap kakitangan MIDF telah diberi tanggungjawab untuk menjaga dan menjamu dua orang kanak-kanak sepanjang majlis berlangsung. Di majlis itu juga, beg hadiah berisi sejadah, kerongsang (untuk perempuan), butang baju melayu (untuk lelaki), sebuah buku Yassin dan sekotak buah kurma bersama duit raya berjumlah RM 50 telah diberikan kepada anak-anak Asrama Damai oleh Tan Sri Dato’ Mahmood dan Encik Mohd. Najib bin Hj. Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF.
Kakitangan MIDF juga telah memberi sumbangan peribadi kepada Asrama Damai melalui kotak derma yang tersedia di majlis tersebut dan lebih kurang RM5,000 telah berjaya dikutip pada malam itu. Majlis telah diakhiri dengan ‘moreh’, di mana roti jala serawa durian telah dihidangkan dan ia telah menjadi kesukaan kanak-kanak yang hadir.
Mengenai MIDF
MIDF kini merupakan sebuah kumpulan yang berkembang dengan pelbagai pelaburan di dalam industri perkhidmatan kewangan dan juga sektor industri hartanah. Berikutan pergabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.
MIDF merupakan syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dengan jumlah asset yang diaudit melebihi RM11.6 billion dan dana pemegang saham melebihi RM2.0 billion bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.