MIDF HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI JOHOR
SEGAMAT, Khamis, 18 Disember 2007 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa – mangsa banjir yang kian bertambah di Johor. Memandangkan paras air masih belum surut dan dijangka kian meningkat, MIDF telah mengambil langkah mengagihkan lebih 5,000 botol air mineral di pusat penempatan banjir di beberapa kawasan di negeri itu.
Dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, MIDF telah mengagihkan bantuan air mineral ke beberapa penempatan terpilih seperti Kampung Gemereh 4, Kampung Buloh Kasap 1, Kampung Kuala Paya dan Kampung Batu Bakar. Ini adalah kerana kebanyakan jalan yang menghala ke kawasan banjir utama yang lain di Segamat telah ditutup untuk kegunaan orang ramai.
Hadir untuk turun padang dalam mengagih dan melawat kawasan-kawasan banjir ialah Ketua Pegawai Operasi MIDF, Encik Azizi Mustafa bersama sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada staf MIDF.
Menurut Encik Azizi, langkah untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa dalam bentuk air mineral adalah untuk menangani kemungkinan masalah kesihatan yang timbul akibat kekurangan bekalan air bersih untuk minum dan memasak akibat banjir teruk yang melanda.
“kami merasakan pentingnya membekalkan mangsa-mangsa yang ditempatkan di kawasan penempatan banjir ini dengan air minuman yang bersih kerana ia dapat menjauhkan masalah kesihatan yang disebabkan air yang tercemar,” kata Encik Azizi.
“Bantuan yang kami salurkan pada hari ini mungkin tidak begitu besar nilai Ringgitnya tetapi kami berpendapat nilainya memang besar. Kami berharap lebih banyak lagi badan korporat akan tampil ke hadapan dalam menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir disini,” tambah Encik Azizi.
Mengenai MIDF
MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.
MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dengan jumlah aset yang diaudit melebihi RM11.6 billion dan dana pemegang saham melebihi RM2.0 billion bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.