Wednesday, 7 January 2009
What's new
Midfccs New Ipos
Slash1-2
MIDF Environmental Awareness Campaign
Slash2-4
Loan for Automation and Modernisation
Blank1-7

MIDF SEDIA SUDUT BACAAN UNTUK PENDUDUK PERUMAHAN AWAM SRI SABAH 3A DI CHERAS



Kuala Lumpur, 5 Januari 2008 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (“MIDF”) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah membuka satu sudut bacaan di rumah pangsa Perumahan Awam Sri Sabah 3A sebagai melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif sebagai langkah mempertingkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar di dalam komuniti tersebut.

Pembukaan Sudut Bacaan MIDF-DBKL itu yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Y. Bhg. Dato’ Ab. Hakim bin Borhan bertujuan untuk menyediakan satu ruang yang selesa dan mempunyai kemudahan asas yang lengkap untuk anak-anak penduduk di kawasan tersebut belajar, menghabiskan kerja rumah, berbincang dan menghadiri kelas tambahan atau bimbingan. Sudut bacaan ini memberikan persekitaran yang lebih lega dan sesuai untuk para penggunanya.

Dalam ucapannya di majlis perasmian itu, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah berkata bahawa pihaknya sentiasa bersedia bersama-sama menyokong agenda Kerajaan dalam membangunkan modal insan yang lebih berjaya untuk kepentingan bangsa dan Negara.

“Kami berharap agar Sudut Bacaan MIDF-DBKL ini dapat memanfaatkan anak-anak atau pelajar-pelajar di Perumahan Awam Sri Sabah ini dan memberi perangsang untuk mereka meluangkan lebih banyak masa dalam aktiviti harian mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja rumah di sini. Di samping itu, sudut bacaan ini boleh juga digunakan sebagai wadah untuk mempertingkatkan ilmu dengan bahan rujukan yang ada dan kelas-kelas bimbingan yang akan dianjurkan oleh persatuan penduduk. Ini adalah kerana ilmu amat penting dalam dunia yang semakin mencabar dewasa ini. Kami di MIDF memberi sokongan padu kepada saranan Perdana Menteri Malaysia untuk meningkatkan sumber modal insan Negara,” tambah En. Najib.

“MIDF telah wujud dan menyumbang kepada pembangunan Negara selama 48 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1960 dan semenjak itu Kumpulan kami peka kepada tanggungjawab sosial korporat kami dan sentiasa ingin menyumbang balik kepada masyarakat bagi memastikan semua golongan dapat menikmati hasil pembangunan dan kejayaan Negara,” beliau menambah.

Sudut bacaan ini yang merupakan salah satu unit rumah pangsa di Perumahan Awam Sri Sabah 3A telah diubahsuai oleh MIDF dan dijadikan sudut bacaan dan pembelajaran yang cantik dan selesa lengkap dengan kemudahan perabot-perabot baru, rak yang diisi dengan buku rujukan dan bahan bacaan yang sesuai, penghawa dingin dan bilik komputer yang dilengkapi komputer peribadi .

Mengenai MIDF

MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.

MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Haniza Abdul Aziz
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8750
Fax: (03) 2173 8755
E-mel: haniza@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my

Anita Ramly
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8751
Faks: (03) 2173 8755
E-mel: anitar@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my