MIDF Bantu Pelajar-pelajar Miskin Di Kota Tinggi
Kota Tinggi, Isnin, 4 Februari 2008 - Lebih 50 orang pelajar miskin di Kota Tinggi pulang dengan penuh kegembiraan apabila menerima pelbagai sumbangan keperluan dan kelengkapan sekolah serta wang tunai daripada warga korporat prihatin Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).
Pelajar-pelajar daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Setia Jaya dan Sekolah Kebangsaan Mawai mesing-masing menerima sebuah basikal, dua persalinan pakaian seragam, kasut dan beg sekolah, alat tulis serta lain-lain keperluan asas persekolahan, bernilai lebih RM 600.00 setiap seorang.
Pengarah Pelajaran Johor Tuan Haji Mokhy Saidon dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah hadir untuk menyampaikan sumbangan kemasyarakatan MIDF kepada pelajar-pelajar tersebut, yang berumur di antara lapan hingga sebelas tahun, di satu majlis yang diadakan di Dewan Jubli Intan di sini.
Dalam ucapan beliau di majlis tersebut, Encik Mohd. Najib berkata bahawa inisiatif ini merupakan salah satu daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF yang telah diatur dan dilaksanakan oleh Syarikat untuk tahun ini, yang juga merupakan rentetan program seumpamanya yang telah diadakan sepanjang tahun lalu. Program Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF lebih menitikberatkan kepada pendidikan berdasarkan kepentingannya untuk pembangunan dan kemajuan Negara. Usaha ini juga bertujuan untuk membantu Kerajaan dalam usaha menjana modal insan yang berkualiti.
“Ilmu pengetahuan merupakan tunggak kehidupan dunia hari ini. Lantaran itu, amat penting untuk anak-anak muda generasi ini yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang, menimba ilmu dan kepakaran di mana mereka berada dan pada setiap peluang yang ada. Anggaplah usaha kami pada hari ini sebagai insentif dan titik permulaan untuk anak-anak ini mengorak langkah dalam usaha pencarian ilmu mereka,” Encik Mohd. Najib berkata. Beliau menambah bahawa usaha MIDF membantu pelajar-pelajar ini tidak hanya berhenti sekadar memberi sumbangan kelengkapan sekolah malah pihak syarikat bercadang untuk terus menganjur pelbagai program pendidikan dan menyediakan insentif untuk mereka yang cemerlang dalam bidang akademik dan ko-korikulum.
Satu ceramah motivasi telah juga diadakan dan disampaikan oleh seorang pakar motivasi selebriti di majlis tersebut. Seramai 150 orang pelajar yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), telah menghadiri sesi ceramah tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang bermanfaat dan menyeronokkan bagi pelajar-pelajar berkongsi pengalaman hidup dan tip pembelajaran berkesan dengan pakar motivasi jemputan.
Sepanjang 2007, MIDF telah menyumbang banyak keperluan dan kelengkapan persekolahan kepada pelajar pelajar miskin di sekitar Kuala Kangsar dan Kuantan dalam lawatan kemasyarakatan syarikat itu. Pada awal Januari 2008, MIDF telah menyediakan sebuah sudut bacaan di Perumahan Awam Sri Sabah 3A di Kuala Lumpur dengan mengubah suai sudut tersebut dan dilengkapi perabot, peralatan asas serta bahan bacaan dan rujukan. Sudut bacaan yang dulunya merupakan salah sebuah unit sedia ada di perumahan itu, telah dibaik pulih dan di naik taraf menjadi tempat yang lebih kondusif untuk anak-anak mengulangkaji pelajaran dan digunakan untuk kegiatan komuniti setempat.
Mengenai MIDF
MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.
MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.