MIDF MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN PERCUMA DI MELAKA SEMPENA MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA 2008
MELAKA, 21 April 2008 –Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk sepanjang waktu Minggu Saham Amanah Malaysia 2008 (MSAM) berlangsung.
MSAM edisi kesembilan ini akan diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC) di Ayer Keroh dari 19 April sehingga 28 April 2008. Empat buah bas dan lima buah van yang berhawa dingin telah disediakan untuk membawa orang ramai ke tapak pameran MSAM.
Perkhidmatan pengangkutan ini bermula pada pukul 9.00 pagi sementara bas perantara akan meninggalkan MITC untuk Bandar Melaka pada pukul 10.00 malam. Empat buah bas yang ditempatkan di Melaka Sentral dan akan membawa penumpang ke MITC setiap setengah jam. Sementara itu 4 buah van akan digunakan untuk menjemput penumpang serta warga kerja kumpulan PNB dari tiga perhentian iaitu Equatorial Hotel, Renaissance Hotel dan Mahkota Parade.
“Ini adalah cara MIDF menggalakkan orang ramai supaya berkunjung ke pameran MSAM dan perkhidmatan pengangkutan percuma ini menyenangkan mereka yang selalunya bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke pameran sedemikian,” kata Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF.
Ini adalah kali kedua MIDF menyediakan khidmat pengangkutan percuma ini, selepas memperkenalkannya buat pertama kali semasa MSAM 2007 di Kuantan, Pahang.
Latarbelakang MIDF
MIDF kini merupakan kumpulan diversified dengan pelaburan yang besar di dalam industri perkhidmatan kewangan. Sejurus penggabungannya dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pemerolehan Utama Merchant Bank Berhad pada tahun 2004, dan penubuhan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kuat dan besar, serta menawarkan perkhidmatan kewangan yang berpelbagai termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Pembangunan Kewangan.
MIDF adalah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan aset keseluruhan melebihi RM9 bilion dan dana pemegang saham melebihi RM2 bilion.