MIDF BAWA DR. FAZLEY UNTUK PENGUNJUNG MSAM 2008
Melaka, 21 April 2008 – Selaras dengan tema Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2008 yang menekankan pembangunan modal insan, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) turut terpanggil untuk merealisasikan matlamat penganjurannya dengan membawa pakar motivasi selebriti Dr Ahmad Fadzli Yaakob, atau lebih dikenali sebagai Dr Fazley untuk berkongsi pengalaman dan ilmu kepada para pengunjung MASM menerusi segmen Program Motivasi Santai MIDF Bersama Dr. Fazley.
Sesi motivasi selama lebih satu jam di Dataran Ilmu Ria Dewan Pameran Utama MSAM telah berjaya menarik perhatian seramai lebih 300 orang pengunjung dari pelbagai peringkat umur lapisan masyarakat.
Menerusi penyampaian yang menarik dan kreatif, Dr Fazley telah berkongsi pengetahuan tentang kejayaan yang dicapai dan bagaimana cara untuk menuju kearah kejayaan dan kecemerlangan tersebut. Dr Fazley menekankan tentang sifat-sifat keberanian, kepentingan jati diri, keberkatan hubungan kekeluargaan terutamanya hubungan dengan ibu bapa.
Lebih menarik lagi sesi motivasi Dr Fazley itu turut dikongsi bersama oleh genius matematik kecil Adi Putra. yang mendeklamasikan sebuah sajak.
Para pengunjung rata-rata melahirkan rasa kagum dan bersemangat dengan motivasi yang disampaikan serta penampilan kedua-dua ikon tersebut Mereka berpendapat program yang dianjurkan oleh MIDF ini adalah satu program yang istimewa dan wajar diteruskan pada masa-masa hadapan.
Latarbelakang MIDF
MIDF kini merupakan kumpulan diversified dengan pelaburan yang besar di dalam industri perkhidmatan kewangan. Sejurus penggabungannya dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pemerolehan Utama Merchant Bank Berhad pada tahun 2004, dan penubuhan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kuat dan besar, serta menawarkan perkhidmatan kewangan yang berpelbagai termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Pembangunan Kewangan.
MIDF adalah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan aset keseluruhan melebihi RM9 bilion dan dana pemegang saham melebihi RM2 bilion.