Thursday, 9 September 2010
MIDF Trivia
Slash1-2
Berita Niaga MITI
Slash1-2
Midfccs New Ipos
Slash2-3
MIDF-UiTM Gallery
Slash3-4
Loan Schemes

MIDF MENJAYAKAN KLINIK UPSR SEBAGAI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORATNYA


 

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2008 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah menganjurkan Klinik UPSR bagi 200 orang murid dari sekitar Kuala Lumpur.

Peserta Klinik UPSR edisi Kuala Lumpur ini adalah anak-anak warga kumpulan MIDF , anak-anak daripada Perumahan Awam DBKL Sri Sabah, Cheras, anak-anak dari rumah anak yatim di Puchong dan Setapak Indah. Program ini juga disertai oleh anak-anak kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Klinik 2 hari ini merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF. MIDF telah menaja dan menganjurkan klinik yang sama di Kota Tinggi baru-baru ini.

Di dalam ucapannya, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah berkata MIDF telah banyak mengharungi perubahan dan perubahan dan pengalaman ini adalah ke arah pembangunan dan pertumbuhan. Bermula daripada pelancaran Identiti Korporat baru Kumpulan MIDF tahun lalu MIDF kini mula menampilkan imejnya sebagai sebuah kumpulan kewangan yang lebih besar dan teguh dan sentiasa bersedia menyumbang kepada bangsa dan negara.

Oleh yang demikian, MIDF sentiasa mengambil berat tentang Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) melalui komitmennya untuk melaksanakan program-program kemasyarakatan dalam usaha membantu Kerajaan membentuk negara gemilang dan melahirkan masyarakat cemerlang.

Platform utama program Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF adalah berlandaskan pendidikan.

Dalam mengendalikan inisiatif CSR, MIDF cuba menyeimbangkan program kemasyarakatannya untuk masyarakat luar dan dalam kumpulannya. Kebajikan warga Kumpulan MIDF tidak dilupakan walaupun banyak aktiviti dijalankan untuk membantu masyarakat terutamanya golongan yang memerlukannya.

”Kami sentiasa berusaha menyediakan program-program yang membawa manfaat kepada warga kerja MIDF dan masyarakat umum terutamanya golongan yang memerlukan. Harapan kami adalah untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berdedikasi,” beliau berkata.

Antara program pembangunan insan yang dijalankan termasuk ceramah-ceramah pengetahuan am, motivasi dan pembangunan diri (self development) di samping pelbagai program pembangunan sumber manusia.

”Para ibubapa kini sedia maklum bahawa pendidikan adalah sangat penting dan sebagai ibubapa, harta paling berharga yang boleh kita hadiahkan kepada anak-anak kita adalah pendidikan yang sempurna. Peranan ibubapa memberi bimbingan serta sokongan menjadi pemangkin kejayaan anak-anak dan pembuka jalan untuk mereka terus maju di dalam pelajaran, ” ujar beliau.

Antara inisiatif MIDF yang telah dilaksanakan pada tahun ini termasuklah pemberian kelengkapan sekolah beserta basikal kepada 100 murid-murid kurang bernasib baik dari sekolah-sekolah di Ayer Keroh, Melaka dan Kota Tinggi, Johor.

MIDF, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan sebuah sudut bacaan serta pelbagai bahan bacaan di Perumahan Awam DBKL Sri Sabah 3A di Cheras. Tujuan MIDF menyediakan sudut bacaan adalah untuk menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk anak-anak penduduk kawasan perumahan tersebut mengulangkaji pelajaran, menghabiskan kerja sekolah dan mengadakan perbincangan di samping menggalakkan mereka untuk membaca dan memanfaatkan bahan-bahan bacaan serta kemudahan yang disediakan.

MIDF juga banyak menganjurkan ceramah yang berteras pendidikan dan motivasi dengan menampilkan ikon serta personaliti terkenal seperti Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Dr. Fadzley Yaakob.

Mengenai MIDF

MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.

MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.





Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Haniza Abdul Aziz
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8750
Fax: (03) 2173 8755
E-mel: haniza@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my

Anita Ramly
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8751
Faks: (03) 2173 8755
E-mel: anitar@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my