Wednesday, 7 January 2009
What's new
Midfccs New Ipos
Slash1-2
MIDF Environmental Awareness Campaign
Slash2-4
Loan for Automation and Modernisation
Blank1-7

KLINIK UPSR ANJURAN BERSAMA MIDF DAN BERITA HARIAN


 

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2008 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian telah menganjurkan Klinik UPSR untuk murid-murid dari sekolah-sekolah terpilih di sekitar daerah Kota Tinggi.

Ini adalah kali pertama MIDF menganjurkan klinik sebegini, namun inisiatif ini bukan program tanggungjawab sosial korporat yang pertama diadakan di Kota Tinggi. Pada awal tahun ini MIDF telah menyediakan kelengkapan sekolah termasuklah sebuah basikal setiap seorang bagi 50 orang anak-anak kurang bernasib baik dari dua buah sekolah di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Setia Jaya dan Sekolah Kebangsaan Mawai.

Seramai 200 orang murid dari beberapa buah sekolah menyertai klinik UPSR yang dilangsungkan selama 2 hari di Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya. Antara sekolah-sekolah tersebut termasuk SK Sri Setia Jaya, SK Mawai, SK Gembut, SK Sedili Kechil, SK Sedili Besar, SK Laksamana, SK Bandar, SK Seri Saujana, SK Datuk Usman Awang,dan SK Taman Kota Jaya.

“Kami di MIDF memberi penekanan terhadap pendidikan di dalam segala inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami. Anak-anak adalah harapan bangsa, dan MIDF akan meneruskan usaha untuk membantu mereka menjadi modal insan yang berpendidikan, berkebolehan, berkemahiran, dan kreatif,” kata Encik Azizi Mustafa, Ketua Pegawai Operasi MIDF di majlis pembukaan Klinik UPSR di Kota Tinggi.

Selain dari klinik UPSR, di kesempatan yang sama, MIDF juga menganjurkan solat hajat untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR yang dihadiri oleh ibubapa dan para pelajar.

Antara inisiatif MIDF yang telah dilaksanakan pada tahun ini termasuklah pemberian kelengkapan sekolah beserta basikal kepada 50 murid-murid kurang bernasib baik dari dua buah sekolah di Ayer Keroh, Melaka. MIDF, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan sebuah sudut bacaan serta pelbagai bahan bacaan di Perumahan Awam DBKL Sri Sabah 3A di Cheras. Tujuan MIDF menyediakan sudut bacaan adalah untuk menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk anak-anak penduduk kawasan perumahan tersebut mengulangkaji pelajaran, menghabiskan kerja sekolah dan mengadakan perbincangan di samping menggalakkan mereka untuk membaca dan memanfaatkan bahan-bahan bacaan serta kemudahan yang disediakan.

MIDF juga banyak menganjurkan ceramah yang berteras pendidikan dan motivasi dengan menampilkan ikon serta personaliti terkenal seperti Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Dr. Fadzley Yaakob.

“MIDF akan meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat-nya terutamanya yang bersesuaian dengan pendidikan dan pembentukan modal insan” ,tambah Encik Azizi lagi.

MIDF dan Berita Harian akan bergabung tenaga sekali lagi untuk menganjurkan satu lagi Klinik UPSR pada 16 dan 17 Ogos di Kuala Lumpur untuk 200 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak warga MIDF, anak-anak penduduk Perumahan Awam Sri Sabah 3A dan anak-anak yatim dari beberapa buah pertubuhan terpilih dan seterusnya di negeri-negeri lain di masa akan datang.

Mengenai MIDF

MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Pengurusan Aset dan Kewangan Pembangunan.

MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.





Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Haniza Abdul Aziz
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8750
Fax: (03) 2173 8755
E-mel: haniza@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my

Anita Ramly
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 2173 8751
Faks: (03) 2173 8755
E-mel: anitar@midf.com.my
Laman Web: www.midf.com.my