Sunday, 5 February 2012
MIDF-UiTM Gallery
Slash3-4
Loan Schemes
Slash3-5
FAQ
Slash3-6
CUST FEEDBACK

MIDF TINGKAT SOKONGAN UNTUK USAHAWAN BUMIPUTERA


 

Kota Bharu, 7 Februari 2009 – Usahawan Bumiputera perlu mengekalkan daya-saing dan mempertingkatkan inovasi untuk memastikan ketahanan perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran keadaan ekonomi semasa, saran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dalam satu simposium di sini baru-baru ini.

Simposium Usahawan Bumiputera MIDF 2009 ini dianjurkan dengan tujuan membantu para usahawan Bumiputera menangani kesulitan yang timbul akibat ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa kesan daripada rentetan krisis kredit global. Penganjuran simposium juga merupakan salah satu usaha MIDF dalam membantu Kerajaan mengekalkan kesejahteraan ekonomi bagi sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Seramai lebih 350 usahawan Bumiputera telah diberi pendedahan kepada penyelesaian dan peluang-peluang yang ada yang mungkin dapat membantu memastikan daya hidup perniagaan mereka dalam mengharungi keadaan semasa. Melalui simposium ini, mereka juga boleh mempertingkatkan perniagaan ke tahap yang lebih cemerlang setelah berjaya melepasi belenggu kegawatan ekonomi yang sedang melanda.

Dalam ucapannya di majlis perasmian simposium tersebut, Pengerusi MIDF Tan Sri Dato’ Mahmood Taib berkata bahawa simposium ini merupakan satu landasan yang disediakan oleh MIDF untuk memberi peluang kepada para usahawan mempelajari cara memperbaiki perniagaan masing-masing di samping memperkukuh dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka serta menambah pengetahuan mengenai keadaan ekonomi semasa melalui ceramah serta kaji selidik yang disampaikan.

Dalam menyahut seruan Kerajaan untuk memberi sokongan terhadap pertumbuhan IKS, simposium ini telah mengumpul seramai lapan orang penceramah dari MIDF, Yayasan Tekun Nasional, PUNB, SMIDEC serta MATRADE untuk membincangkan tentang pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan perniagaan. Antara topik yang dibincangkan di simposium tersebut termasuk skim-skim kewangan yang berpelbagai dan peluang-peluang perniagaan yang disediakan oleh MIDF serta agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Para peserta juga diberi pendedahan mengenai analisa serta tinjauan pasaran oleh MIDF Research. MIDF juga menonjolkan seorang usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta simposium.

Tajuk-tajuk perbincangan telah dipilih khusus bagi mengutarakan cadangan dan penyelesaian bagi menangani rintangan yang sering dihadapi oleh usahawan-usahawan Bumiputera, antaranya termasuk masalah kekurangan modal dan kekangan kewangan, kekurangan pengalaman atau pengetahuan serta masalah penjenamaan dan model perniagaan yang lemah.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Encik Mohd. Najib Hj. Abdullah menyatakan “Usahawan IKS diseru untuk merebut peluang sedia ada dalam mengharungi keadaan semasa yang agak getir. Syarikat-syarikat harus mengamalkan sikap berhati-hati dalam perbelanjaan perniagaan mereka sambil mencari jalan yang berkesan untuk memperbaiki atau mengekalkan hasil perolehan mereka di dalam pasaran yang mencabar. Langkah-langkah ini akan mendorong mereka melangkah ke tahap yang lebih baik dalam inovasi perniagaan, lebih kreatif serta lebih berdaya saing. Beliau menambah bahawa peranan MIDF adalah untuk mengenalpasti syarikat-syarikat serta individu yang mempunyai pelan perniagaan kukuh dan membantu dalam mencapai matlamat perniagaan mereka.

Berbekalkan hampir 50 tahun pengalaman sebagai konduit yang dilantik untuk menyalurkan dana Kerajaan untuk tujuan pembangunan, Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF giat memainkan peranan yang proaktif di dalam menyokong IKS di Malaysia. MIDF kini menawarkan Skim Pinjaman Mudah untuk Enterpris Kecil dan Sederhana, Skim Pinjaman Mudah untuk Penempatan Semula Kilang, Skim Pinjaman Mudah untuk Penerapan Aplikasi ICT, Skim Pinjaman Mudah untuk Modenisasi dan Automasi, Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Automotif dan Skim Pinjaman Mudah untuk Penjenamaan Antarabangsa serta Dana Khas Kerajaan Persekutuan untuk EKS di Terengganu.

Menurut Encik Najib lagi, “IKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, dan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh MIDF boleh memperkasakan keupayaan mereka untuk mengharungi keadaan ekonomi semasa yang mencabar. Pada tahun lalu, MIDF telah mengurangkan kadar faedah ke atas skim pinjaman mudahnya daripada 4% ke 2% dan jumlah pembiayaan dinaikkan kepada 90%,”. Setakat itu, MIDF telah membantu perusahaan Bumiputera dengan pinjaman berjumlah RM2.9 bilion.

Tan Sri Dato’ Mahmood turut berkata, “Terdapat lebih kurang 519,000 usahawan IKS mewakili lebih 90% daripada jumlah keseluruhan usahawan di Malaysia dan IKS menyumbang sebanyak 32% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Perangkaan ini menunjukkan betapa pentingnya sektor IKS ini disokong kerana ianya merupakan penjana penting bagi pertumbuhan ekonomi Negara.”

”Oleh yang demikian MIDF akan terus membantu IKS untuk mengatur langkah bagi mempertingkatkan produktiviti mereka,” tambah beliau lagi.

Mengenai MIDF

MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.

MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.





For more information, please contact :

Sharifah Shaliza Binti Syed Manshor
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: (03) 21738751
Fax: (03) 2173 8755
E-mail: sharifah.shaliza@midf.com.my
Website: www.midf.com.my