Kaherah, Mesir, 24 Februari 2016  – Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak tahun 2010 dalam pelaksanaan program-program tanggungjawab sosial korporat yang berlandaskan pendidikan. 

Kerjasama MIDF dan MAIPs bermula pada tahun 2010 dengan pembinaan 27 buah rumah baru serta 3 rumah yang dibaik pulih bagi keluarga miskin tegar di Perlis di bawah Program Rumah Murni MIDF.  Kerjasama tersebut diteruskan pada tahun 2012 dengan pembinaan 17 buah rumah baru serta membaik pulih 2 buah rumah yang lain.  Rumah-rumah tersebut dibina oleh Kumpulan MIDF dengan harapan anak-anak penerima yang masih bersekolah dapat mentelaah pelajaran dengan lebih selesa dengan adanya kediaman yang baru  dan selamat. 

Pada tahun 2011, MIDF telah membina 4 tadika Islam baru serta membaik pulih 3 tadika Islam di sekitar negeri Perlis.  MIDF juga telah membina dewan makan di Sekolah Menengah Agama Al Islahiyah di Perlis serta menyumbang komputer terpakai kepada sekolah-sekolah agama di negeri tersebut.  MIDF serta MAIPs telah juga bekerjasama dalam penubuhan pusat tuisyen Pusat Celik Minda di Batu Bertangkup, Chuping di Perlis. 

Pusat Celik Minda memberi perkhidmatan bimbingan pelajaran bagi murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan setakat ini 40 orang murid golongan asnaf dari 5 buah sekolah telah menamatkan pembelajaran mereka pada September tahun 2015.  Sesi tahun 2016 untuk murid-murid darjah 6 bakal akan bermula dari bulan Mac ke September tahun ini, dan pada tahun ini perkhidmatan ini turut dibuka kepada 40 murid-murid darjah 5.  Kos operasi Pusat Celik Minda termasuk penggajian guru-guru, makan minum serta pengangkutan untuk murid-murid yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh MIDF.  Manakala itu, MAIPs bertanggungjawab untuk pengurusan pusat tersebut.  Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pula memainkan peranan untuk mengenalpasti guru-guru cemerlang serta murid-murid sekolah yang menghadiri kelas bimbingan di pusat tuisyen tersebut.

Baru-baru ini sebuah dewan serbaguna yang dibina oleh MIDF serta diuruskan oleh MAIPs di Kaherah, Mesir telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.  Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra bertempat di Rumah Asrama Negeri Perlis di Kaherah dan digunakan oleh para pelajar rakyat Malaysia dari negeri Perlis khususnya untuk pelbagai aktiviti-aktiviti.

Delegasi MAIPs yang diketuai DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail meneruskan acara di Kaherah dengan beberapa lagi program yang melibatkan pelajar-pelajar dari Malaysia.  Turut serta adalah Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Seri Azlan bin Man serta Mufti Negeri Perlis Ybhg Sahibus Samahah Dato’ Srif Perkasa Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. 

###

 

Mengenai MIDF

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) merupakan sebuah kumpulan syarikat kewangan bersepadu yang terdiri daripada Jabatan Kewangan Pembangunan yang berhubungan terus dengan MITI, MIDF Amanah Investment Bank Berhad dan MIDF Amanah Asset Management Berhad. MIDF yang dimiliki penuh oleh Permodalan Nasional Berhad, menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan kompetitif dan dinamik dari aspek skim bantuan SME, pelaburan amanah saham korporat dan perbankan pelaburan korporat. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dan kukuh.

 

###

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Anita Ramly

Komunikasi Korporat Kumpulan                                  

Tel:      (03) 2173 8756                                              

Faks:   (03) 2173 8866                                              

HP:      (019) 332 4809                                              

Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.