MIDF serah zakat bagi pembinaan rumah dan pusat autism di Perlis

 

Kangar, Perlis, 26 Mac 2016  – Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM450,000 sempena Majlis CSR MIDF-MAIPs 2016 bertempat di Universiti Malaysia Perlis di Pauh Putra, Perlis pada hari ini.

 

MIDF telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak tahun 2010 dalam pelaksanaan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

Daripada jumlah zakat perniagaan yang diserahkan pada hari ini, sejumlah RM400,000 adalah untuk pembinaan 10 buah rumah golongan asnaf manakala RM50,000 pula adalah dana awal pembinaan sebuah Pusat Autism Hub for Educational Resources and Training (A-Heart).

 

Pembinaan 10 buah rumah tersebut adalah kesinambungan Program Rumah Murni MIDF yang mana MIDF telah membina 44 buah rumah baru serta 5 buah rumah yang dibaikpulih sejak tahun 2010 bagi golongan asnaf di Perlis.  Tujuan MIDF membina baru serta membaikpulih rumah adalah supaya anak-anak penerima yang masih bersekolah boleh mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang lebih selesa dan selamat.  Pendidikan merupakan aset yang paling berharga di dalam kehidupan seseorang dan MIDF berbesar hati kerana berpeluang untuk memainkan peranan tersebut.

 

Pada tahun lalu MIDF,  MAIPs serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis) telah juga bekerjasama dalam penubuhan pusat tuisyen iaitu Pusat Celik Minda di Batu Bertangkup, Chuping di Perlis.   Kos operasi Pusat Celik Minda termasuk penggajian guru-guru, makan minum serta pengangkutan untuk murid-murid yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh MIDF.  Manakala itu, MAIPs bertanggungjawab untuk pengurusan pusat tersebut.  JPN Perlis pula memainkan peranan untuk mengenalpasti guru-guru cemerlang serta murid-murid sekolah yang menghadiri kelas bimbingan di pusat tuisyen tersebut.  Selain penyerahan zakat kepada MAIPs, MIDF juga menyediakan 40 basikal sebagai cenderahati kepada pelajar tahun pertama operasi Pusat Celik Minda.  MIDF turut menyerahkan wang saguhati bagi kesemua 40 pelajar tersebut.

 

Sumbangan zakat RM400,000 bagi pembinaan 10 buah rumah bagi golongan asnaf telah diserahkan kepada DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.  Sementara itu, MIDF akan menyerahkan zakat RM50,000 kepada DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena majlis “Royal A-Heart Gala Dinner” pada 26 Mac 2016.

 

 

###

 

Mengenai MIDF

 

 Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) merupakan sebuah kumpulan syarikat kewangan bersepadu yang terdiri daripada Jabatan Kewangan Pembangunan yang berhubungan terus dengan MITI, MIDF Amanah Investment Bank Berhad dan MIDF Amanah Asset Management Berhad. MIDF yang dimiliki penuh oleh Permodalan Nasional Berhad, menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan kompetitif dan dinamik dari aspek skim bantuan SME, pelaburan amanah saham korporat dan perbankan pelaburan korporat. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dan kukuh.

 

 ###

 

 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

 

Anita Ramly

Komunikasi Korporat Kumpulan                                 

Tel:      (03) 2173 8756                                             

Faks:   (03) 2173 8866                                             

HP:      (019) 332 4809                                             

Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.