MIDF anjur klinik UPSR di Tapah - Serah Komputer Riba

 

Tapah, Perak, 27 April 2016 – Tiga murid yang menerima keputusan SPM paling cemerlang pada tahun 2015 di Perak telah menerima komputer riba sumbangan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) setiap seorang pada hari ini.

Pelajar-pelajar yang menerima komputer riba tersebut adalah Mathura a/p Ramachandran dengan keputusan 11A+ dari SMK Hamid Khan di Tapah, Ng Seow Qi juga dengan keputusan 11A+ dari SMJK Shing Chung, Sungai Siput, Perak dan Farah Husna Bt Zulkifle dengan keputusan 9A+ dari SM Sains Tapah di Tapah.

Sumbangan komputer riba tersebut diserahkan secara rasmi kepada para penerima oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Turut berada bersama beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat MIDF berlandaskan pendidikan dan berdasarkan tema tersebut, MIDF telah melaksanakan pelbagai program bagi manfaat pelajar terutamanya dari golongan asnaf dan fakir miskin. Program paling terkini adalah penubuhan sebuah pusat tuisyen di Perlis bagi menyediakan murid-murid darjah 5 & 6 dalam menghadapi peperiksaan UPSR.

Sempena MSAM 2016 yang bakal berakhir pada 28 April di Tapah, MIDF juga telah menganjurkan Klinik UPSR pada 23 dan 24 April 2016 bertempat di S.K. Toh Tandewa Sakti, Tapah. Seramai 250 pelajar dari 13 buah sekolah di sekitar Tapah telah menyertai Klinik UPSR tersebut.

MIDF pernah menyumbang komputer riba kepada pelajar terbaik SPM sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di beberapa buah negeri sebelum ini antaranya di Kuching, Sarawak pada tahun 2010, di Ipoh, Perak pada tahun 2011, di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 2012 dan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2014.

 

#####

Mengenai MIDF

MIDF telah ditubuhkan lima puluh empat tahun yang lalu hasil daripada satu kajian oleh Bank Dunia. MIDF merupakan institusi kewangan pembangunan utama di negara ini bagi tujuan memangkinkan pembangunan dan pemodenan industri pembuatan negara.

Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kukuh dan lebih besar, menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang berdaya saing termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan, Pengurusan Aset dan Pembiayaan Mezanin.

MIDF merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Anita Ramly
Ketua, Komunikasi Korporat Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat
Tel: (03) 2173 8756
Faks: (03) 2173 8866
H/P: (019) 332 4809
E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Sesawang: www.midf.com.my