MIDF SERAH SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADAN DI JELI

 

Jeli, Kelantan 25 Jun 2016 – Seramai 100 warga asnaf di Jeli, Kelantan telah menerima sumbangan dari Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sempena bulan Ramadan pada hari ini.  Sumbangan Ramadan yang berbentuk barangan makanan asas serta duit Raya berjumlah RM50.00 seorang telah diserahkan kepada para penerima oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.  

 

Majlis penyerahan sumbangan Ramadan tersebut telah berlangsung di Darul Falah, Jeli dan para penerima dari Kuala Balah, Bukit Bunga dan Ayer Lanas telah hadir untuk menerima sumbangan beras tersebut.  Majlis ringkas tersebut telah dimulakan dengan tazkirah dan berakhir dengan penyerahan sumbangan Ramadan kepada para penerima.  Turut hadir di majlis sumbangan tersebut adalah Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF, Encik Azizi Hj. Mustafa. 

 

Program Sumbangan Ramadan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh MIDF bagi membantu golongan yang memerlukan.  Program Sumbangan Ramadan ini turut dianjurkan di Tangkak, Johor pada hari yang sama. 

 

Antara inisiatif CSR anjuran MIDF yang lain adalah Program Rumah Murni MIDF serta Program Pendidikan Murni MIDF.  Setakat ini MIDF telah menyerahkan 89 buah rumah bi bawah Program Rumah Murni MIDF kepada keluarga asnaf miskin di Muar dan Kota Tinggi di Johor, Kedah, Kelantan dan Perlis.  Sementara itu, inisiatif terbaru MIDF di bawah Program Pendidikan Murni MIDF adalah penubuhan sebuah pusat tuisyen di Perlis bagi murid-murid Darjah 5 dan 6. MIDF turut memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Kelantan pada tahun lalu dengan pembelian perabot serta komputer untuk beberapa sekolah di bawah naungan Yayasan Islam Kelantan.

 

#####

 

Mengenai MIDF

 

MIDF telah ditubuhkan lima puluh empat tahun yang lalu hasil daripada satu kajian oleh Bank Dunia.  MIDF merupakan institusi kewangan pembangunan utama di negara ini bagi tujuan memangkinkan pembangunan dan pemodenan industri pembuatan negara.

 

Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kukuh dan lebih besar, menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang berdaya saing termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.

 

MIDF merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Anita Ramly

Ketua, Komunikasi dan Perhubungan Korporat

Jabatan Komunikasi Korporat

Tel: (03) 2173 8756

Faks: (03) 2173 8866

H/P: (019) 332 4809

E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Laman Sesawang:  www.midf.com.my