Malaysian Industrial Development Finance Berhad

Untitled Document
Utility' Utility'

MIDF MENYEDIAKAN DANA RM1BILLION BAGI MEMBANTU SYARIKAT TEMPATAN BERDAYA SAING

Sebagai pemegang utama mandat pemangkin pembangunan sektor perindustrian negara semenjak kemerdekaan Malaysia 56 tahun yang lalu, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) terus berusaha untuk merealisasikan sasaran negara ke arah status negara maju melalui perkhidmatan penawaran bantuan-bantuan pinjaman di bawah Program Bantuan Kewangan Kerajaan bagi meningkatkan tahap daya saing dan inovatif syarikat-syarikat tempatan. 

MIDF merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan utama negara yang juga berperanan sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI). Sejak penubuhannya pada 30 Mac 1960, MIDF telah menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri pembuatan dan perkhidmatan negara dalam bentuk pembiayaan kewangan khususnya kepada syarikat-syarikat tempatan bertaraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).  

Setakat 28 Februari 2013, MIDF telah meluluskan pembiayaan kewangan berjumlah RM11.3 bilion kepada 8,721 syarikat tempatan. Melalui pembiayaan kewangan yang disediakan oleh MIDF kepada syarikat-syarikat tempatan, ianya membolehkan syarikat-syarikat tempatan tersebut untuk mengurangkan kos operasi di samping meningkatkan tahap daya saing dan daya tahan syarikat-syarikat tersebut.  

Setelah lebih daripada separuh abad membantu sektor perindustrian negara, bermula daripada bantuan pinjaman kepada syarikat pengeluar mancis pertama negara sehinggalah bantuan pinjaman kepada penempatan satelit pertama negara di ruang angkasa lepas dunia, dengan tujuan utama untuk mengwujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, membantu negara mengurangkan penggantungan kepada barangan-barang import dan seterusnya membantu syarikat-syarikat tempatan ke arah penerokaan pasaran eksport. Kini, MIDF telah bersedia untuk membantu syarikat-syarikat tempatan mengharungi era pembangunan industri Malaysia yang seterusnya iaitu ke arah ekonomi yang kompetitif, yang mana ianya merupakan satu situasi ekonomi yang memerlukan setiap syarikat-syarikat tempatan untuk mempunyai tahap daya saing yang tinggi dan berinovatif untuk terus kompetitif di dalam pasaran. 

Bagi mencapai tahap daya saing yang tinggi dan bertaraf kompetitif, syarikat-syarikat tempatan perlu bersedia untuk meningkatkan tahap penyediaan keluaran atau perkhidmatan melalui penggunaan teknologi yang cekap atau dengan kata lain perlu memodenisasikan atau mengautomasi sistem penyampaian mereka supaya boleh bersaing secara kompetitif dengan syarikat-syarikat konglomerat tempatan dan luar negara.  

Bagi tujuan membantu usahawan tempatan untuk bersaing dengan lebih kompetitif, pembiayaan MIDF mengenakan kadar faedah pinjaman tetap serendah 4% setahun bagi pembiayaan pembelian mesin, peralatan, bangunan kilang dan hartanah komersil ataupun pembinaan hartanah perkilangan ataupun bagi kegunaan modal kerja. Disamping itu, MIDF turut menawarkan tempoh pembayaran balik pembiayaan yang panjang sehingga 25 tahun bagi pembiayaan hartanah komersil. 

Kadar faedah yang rendah dan tetap serta tempoh pembayaran balik yang agak panjang ini telah memberi peluang kepada beribu-ribu syarikat tempatan untuk mengukuhkan kedudukan aliran tunai syarikat supaya syarikat-syarikat tempatan ini mempunyai tahap kapasiti dan keyakinan yang tinggi untuk bersaing. 

Penawaran pembiayaan pinjaman MIDF ini adalah salah satu langkah strategik oleh pihak Kerajaan bagi tujuan untuk memajukan sektor perindustrian negara dan memperkasakan daya saing usahawan tempatan, meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran sektor swasta, menyumbang kepada pengurangan kadar kebergantungan industri kepada buruh asing dan menggalakkan industri meningkatkan penggunaan automasi dalam proses pengeluaran. 

Berdasarkan prestasi syarikat-syarikat tempatan yang telah mendapatkan pembiayaan kewangan MIDF bagi tujuan pengembangan perniagaan, sebahagian besar syarikat tersebut telah berjaya meningkatkan tahap daya saing mereka bagi menghasilkan tahap pengeluaran dan penyampaian perkhidmatan yang optimum di samping telah berjaya untuk turut serta dalam mengukuhkan rangkaian industri tempatan, menambahkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dan memenuhi keperluan pasaran eksport yang semakin dinamik. 

Pembiayaan kewangan MIDF juga seiring dengan usaha Kerajaan bagi membangunkan sektor PKS untuk disasarkan untuk menjadi penyumbang yang lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sasaran pada tahun 2020 adalah 41.%. Dalam tahun 2010, sektor PKS menyumbang sebanyak 32% kepada KDNK negara. Bagi mencapai sasaran Kerajaan pada tahun 2020, usahawan tempatan khususnya PKS perlu bergerak secara aktif dan berganding bahu dengan Kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi melalui aktiviti-aktiviti ekonomi yang berdaya saing, berinovatif dan kompetitif berlandaskan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh Kerajaan. 

Sempena penglibatan MIDF di dalam edisi khas Minggu Amanah Saham Malaysia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di perkarangan Dewan 2020, Kangar, Perlis bermula dari 20 April sehingga 27 April 2013, MIDF bersama PNB telah turut mengatur satu acara perhimpunan usahawan tempatan iaitu Simposium Usahawan MIDF yang dijadualkan akan diadakan pada hari Ahad, 21 April 2013 bermula dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Usahawan yang beroperasi di Utara Semenanjung Malaysia terutamanya di negeri Perlis dan Kedah adalah digalakkan hadir ke simposium ini bagi tujuan perkongsian maklumat dan pengalaman masing-masing. 

Di samping itu, usahawan-usahawan tempatan yang berminat untuk meningkatkan tahap daya saing dan inovatif syarikat mereka melalui pembiayaan pinjaman MIDF adalah disaran supaya menghubungi pihak MIDF melalui surat elektronik ke alamat This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau dengan terus menghubungi Jabatan Jualan Ibu Pejabat MIDF, Kuala Lumpur di talian 03 – 21738888 atau pejabat wilayah MIDF di Pulau Pinang (tel. no. 04-2298434), Johor Bahru (07-2232727), Kota Bahru (09-7483546), atau pejabat cawangan MIDF di Kuching (082-254533) dan Kota Kinabalu (088-211633). Butiran mengenai semua program bantuan kewangan MIDF bagi sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan boleh juga didapati dari laman web korporat www.midf.com.my.