MIDF MENJELAJAH SAMBIL BERAMAL UNTUK BANTU GOLONGAN FAKIR MISKIN DI PERLIS

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2011 - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) baru-baru ini menjelajah sambil beramal ke Perlis di bawah Program Kembara CSR MIDF 2011. Seramai 90 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja MIDF bersama-sama dengan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah turut serta dalam program tersebut.

Aktiviti utama sepanjang Kembara CSR MIDF 2011 yang berlangsung dari 7hb hingga 9hb Oktober 2011 ialah Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis yang diadakan di Kompleks C-Mart di Arau, Perlis pada  8hb Oktober 2011. Acara yang mendapat sambutan hangat rakyat setempat itu telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Syed Sirajuddin Jamalullail.

Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis merupakan hasil kerjasama di antara MIDF dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga julung kali dianjurkan oleh badan korporat dan Baitulmal Perlis. Ianya bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat miskin dan badan-badan kebajikan di sekitar negeri Perlis yang memerlukan bantuan.  Apa yang membuatkan jualan amal ini lebih bermakna ialah MIDF memberi komitmen untuk menggandakan setiap RM1 daripada hasil jualan.  

Barangan yang dijual merupakan sumbangan  warga kerja MIDF sendiri, keluarga serta rakan-rakan mereka .  Antara barangan yang menarik sama ada yang baru dan terpakai yang terdapat di jualan amal tersebut termasuklah pakaian berjenama, perkakas rumah, peralatan eletrik, barangan perhiasan, permainan kanak-kanak, basikal-basikal dan juga motosikal. Kutipan barangan jualan dan sumbangan telah dijalankan selama dua minggu di Menara MIDF Kuala Lumpur. Sebelum berangkat ke Perlis, MIDF juga mengadakan bazar amal untuk warga kerja yang tidak dapat turut serta dalam kembara ke Perlis.  

”Tujuan MIDF melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti ini bukan sahaja untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, tetapi syarikat juga ingin menerapkan sifat nilai-nilai murni serta semangat saling bantu-membantu antara insan di dalam diri setiap warga MIDF. Kerjasama yang dipupuk oleh warga MIDF sepanjang kembara ini dan sewaktu jualan amal ini telah mengeratkan hubungan sesama rakan kerja justeru mewujudkan semangat kekeluargaan di MIDF,” jelas Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF.  

Selain dari mengumpul dana, Jualan Amal tersebut juga bertujuan untuk memberi peluang kepada 15 keluarga fakir miskin  untuk merasai suasana membeli-belah di mana setiap keluarga diberi baucer percuma bernilai RM200.  Dengan baucer tersebut mereka boleh memilih barangan yang mereka inginkan.  Selain dari itu, acara ini memberi peluang kepada rakyat Perlis terutamanya yang berada di Arau dan sekitar Kangar untuk beramal sambil membeli-belah.  

Komitmen dan semangat ingin menyumbang para warga MIDF bukan sahaja terhad kepada memberi sumbangan dan menderma semata-mata, malah seramai 90 orang warga MIDF yang mendaftar sebagai sukarelawan turut ikut serta berkampung di Perlis bagi bersama-sama menjayakan Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis tersebut. Para sukarelawan mengendalikan gerai-gerai jualan disamping mengikuti aktiviti-aktiviti lain yang disediakan.

”Usaha-usaha tanggungjawab sosial korporat berteraskan kebajikan seperti program Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis ini menjadi aspirasi MIDF di mana selain memperkasakan status ekonomi agama, bangsa dan negara melalui produk dan perkhidmatan kewangan kami, syarikat juga ingin mempertingkatkan status sosial masyarakat di Malaysia untuk kita mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” ujar Datuk Mohd. Najib lagi.

Para pengunjung mula memenuhi tapak jualan sejak pembukaan Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis seawal jam 9 pagi untuk merebut tawaran yang disediakan. Jualan amal tersebut berjaya mengutip RM23,100 termasuk kutipan dari jualan amal di Menara MIDF.  Jumlah ini telah digandakan dengan sumbangan dari syarikat dan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan dana yang bakal diagihkan menjadi RM50,000.

Sejajar dengan pelancaran program Kembara CSR MIDF 2011, DYTM Raja Muda Perlis juga telah menyampaikan sumbangan imbuhan kepada golongan amil.  DYTM Raja Muda Perlis juga turut melawat di sekitar tapak gerai-gerai jualan sambil beramah mesra dengan sukarelawan MIDF dan warga negeri Perlis yang hadir.  MIDF turut memberi sumbangan 100 komputer terpakai kepada sekolah-sekolah Agama di negeri Perlis sempena program ini.   Niat MIDF menyumbangkan komputer terpakai ini adalah untuk membantu merealisasikan hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dalam mendedahkan murid-murid kepada teknologi maklumat.

MIDF juga akan meneruskan kerjasama dengan MAIPs bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat-nya yang berlandaskan pendidikan melalui Program Pendidikan Murni MIDF (PPMM) dengan tujuan untuk memberi bantuan yang berkaitan pendidikan kepada sekolah serta murid-murid sekolah.

”Kami telah menyumbangkan RM120,000 bagi pembinaan 3 buah tadika di daerah Behor Mali, Masjid Negeri dan Bintong.  Selain dari itu, MIDF juga telah menyumbang RM130,000 bagi pembinaan satu dewan serbaguna yang akan digunakan sebagai ruang makan di Sekolah Menengah Agama Islahiyah, Behor Mali” kata Datuk Mohd. Najib.

Selain daripada Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis, Kembara CSR MIDF 2011juga telah menemukan pasukan bola sepak  MAIPs dengan pasukan bola sepak MIDF dalam satu perlawanan persahabatan pada 7hb Oktober 2011.  DYTM Raja Muda Perlis telah membuat sepakan mula perlawanan tersebut sebelum berangkat ke tapak perlawanan woodball bersama-sama dengan pihak pengurusan MIDF untuk satu permainan woodball santai.

Program Kembara CSR MIDF 2011 di Perlis ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat susulan berikutan Program Rumah Murni MIDF (PRMM) di Perlis pada tahun 2010 dimana sebanyak 30 buah rumah telah dibina dan di baik pulih.

“MIDF sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan Baitulmal Perlis dalam acara ini dan harapan kami semoga dapat kami berganding bahu lagi dengan pihak Baitulmal dalam program kemasyarakatan kami yang akan datang,” kata Datuk Mohd Najib mengakhiri perbualan.


Mengenai MIDF

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) merupakan sebuah kumpulan syarikat kewangan bersepadu yang terdiri daripada Jabatan Kewangan Pembangunan yang berhubungan terus dengan MITI, MIDF Amanah Investment Bank Berhad dan MIDF Amanah Asset Management Berhad. MIDF yang dimiliki penuh oleh Permodalan Nasional Berhad, menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan kompetitif dan dinamik dari aspek skim bantuan SME, pelaburan amanah saham korporat dan perbankan pelaburan korporat. Berikutan penggabungan MIDF dengan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah syarikat yang lebih teguh dan kukuh.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Norleen Abdul Rahman

Anita Ramly

Group Corporate Communications

Group Corporate Communications

Tel: (03) 2173 8750

Tel: (03) 2173 8756

Fax: (03) 2173 8866

Fax: (03) 2173 8866

H/P (019) 2631712

H/P (019) 332 4809

E-mail: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

E-mail: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it