Malaysian Industrial Development Finance Berhad

Untitled Document
Utility'

MIDF TERUSKAN DENGAN PROGRAM KEMASYARAKATAN BANTU WARGA MISKIN DI PERLIS

Perlis, 21 Mac 2012 — Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah menyerahkan wang zakat perniagaan MIDF berjumlah RM740,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diagihkan kepada asnaf fakir miskin di Perlis melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat MIDF.  

Dari jumlah tersebut, MIDF bercadang untuk membina lagi empat buah (4) tadika Islam dan 17 buah rumah baru, manakala jumlah selebihnya akan digunakan untuk membaik pulih rumah-rumah golongan miskin yang terpilih. 

Sumbangan wang zakat perniagaan tersebut adalah salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat MIDF kepada golongan yang memerlukan di negeri Perlis. Program Rumah Murni MIDF (PRMM) anjuran MIDF yang telah dimulakan pada tahun 2010 adalah bertujuan untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk golongan daif dan pada masa yang sama meningkatkan taraf hidup golongan itu. Rumah-rumah baru yang selesa disediakan dengan harapan agar anak-anak atau tanggungan penerima yang masih bersekolah mempunyai suasana pembelajaran yang kondusif dan dapat mengulangkaji pelajaran dengan selesa. Peningkatan prestasi pencapaian dalam pembelajaran akan memberikan peluang cerah untuk anak-anak Perlis melanjutkan pelajaran ke menara gading dan mendapatkan pekerjaan yang dapat menaikkan taraf ekonomi keluarga masing-masing. 

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs telah menerima cek pembayaran zakat tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah di Majlis Tanggungjawab Sosial Korporat MIDF dan MAIPs yang berlangsung di Tadika An Najah Mumtaz, Masjid Istiqamah, Teluk Jambu, Bintong, Perlis. 

Selain daripada jumlah tersebut, MIDF juga turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 yang merupakan hasil daripada Jualan Amal MIDF-Baitulmal Perlis yang telah berlangsung di Kompleks C-Mart, Arau pada 7 Oktober 2011 yang lalu. Jualan Amal tersebut merupakan hasil kerjasama yang julung kali dianjurkan oleh badan korporat seperti MIDF dan Baitulmal Perlis. Ianya bertujuan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada rakyat miskin dan badan-badan kebajikan di sekitar negeri Perlis yang memerlukan bantuan. Sumbangan RM50,000 tersebut akan diagihkan kepada Maahad At Tarbiyah Al Islamiyah (MATRI), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Perlis, Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul-Saadah Lil-banat dan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis Mesir.

Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF berkata dalam ucapan beliau, “MIDF bakal menyambut ulang tahun yang ke-52 pada 30 Mac nanti dan oleh yang demikian kami ingin memberi sedikit sumbangan yang termampu kepada mereka yang memerlukan. Kami amat bersyukur kerana mampu bertahan selama ini dalam industri yang amat kompetitif, namun pada masa yang sama, kami juga tidak lupa akan tanggungjawab kami kepada golongan yang lebih memerlukan. Objektif kami adalah untuk membantu meringankan sedikit sebanyak beban golongan miskin“.

MIDF telah memperkenalkan satu lagi inisiatif CSR iaitu Program Pendidikan Murni MIDF (PPMM) pada tahun lalu. Tujuan utama PPMM dijalankan oleh MIDF adalah bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada institusi-institusi pendidikan di negeri Perlis secara terus-menerus.

Di antara bantuan yang disediakan di bawah program ini adalah termasuk pembinaan atau pembaik pulih sekolah-sekolah termasuk tadika dan juga bantuan barangan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah ataupun komputer. Program ini turut menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan pelajaran untuk pelajar-pelajar yang terpilih. 

MIDF menyumbang RM250,000 di bawah PPMM yang mana RM130,000 telah digunakan bagi pembinaan satu dewan serbaguna yang digunakan sebagai ruang makan di Sekolah Menengah Agama Islahiyah. Manakala RM120,000 telah digunakan untuk membiaya pembinaan tiga buah tadika Islam di Behor Mali, Masjid Negeri dan Bintong. Tadika-tadika tersebut adalah Tadika Islam An-Najah Mumtaz, Tadika Islam Al-Fatah, Behor Lalang dan Tadika Islam Masjid Negeri. Dewan serbaguna serta 3 tadika Islam tersebut turut diserahkan secara rasmi dalam majlis yang sama.

“Kami di MIDF gembira kerana diberi peluang untuk melaksanakan inisiatif CSR kami di Perlis dan berharap agar bantuan yang disediakan diterima dengan baik oleh rakyat Perlis dan InsyaAllah, kami akan terus berbakti untuk masyarakat yang memerlukan bantuan,” kata Datuk Mohd. Najib mengakhiri ucapan beliau.

MIDF Media

Untitled Document

anniversary_icon Anniversary Video
media_gallery_icon MIDF Media Gallery
 
 

Latest News